DAP tidak menyokong ‘Kerajaan pintu belakang’

SEREMBAN: 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Negeri Sembilan menyatakan pendirian bahawa tidak menyokong usaha mana-mana pihak untuk menubuhkan ‘Kerajaan pintu belakang’.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan bukan ditubuhkan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15).
“Kita ada persefahaman sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN-15) yang sebelum ini.
“Kerana PRN-15 diadakan pada bulan Ogos 2023, selepas Kerajaan Perpaduan dibentuk di peringkat persekutuan.
“Maka kita menyertai dan berkempen dalam PRN Negeri Sembilan yang lalu atas platform Kerajaan Perpaduan (Pakatan Harapan dan Barisan Nasional).
“Jadi itu mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (Kerajaan Perpaduan),” jelas Loke.
Menurut Loke lagi, kalau ada mana-mana pihak sekarang ini menarik sokongan, bagi ADUN-ADUN DAP Negeri Sembilan, itu telah pun tidak menghormati mandat diberikan oleh rakyat Negeri Sembilan.
“Kita tidak akan menyokong mana-mana usaha ‘Kerajaan tebuk atap’. ‘No to back door government’. Kita tidak akan menyokong mana-mana pihak untuk menubuhkan ‘Kerajaan pintu belakang’.
“Ini kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat Negeri Sembilan iaitu 17 ADUN Pakatan Harapan dan 14 ADUN Barisan Nasional.
“Jelas kita berkempen atas platform itu dan diberikan mandat. Menang tubuh Kerajaan Negeri.
“Kalau ada mana-mana pihak nak tubuhkan kerajaan selain daripada kerajaan yang sedia ada ini, bagi kita adalah membelakangi mandat daripada rakyat Negeri Sembilan,” tegas Loke.
Loke berkata demikian di Sidang Media Tergempar yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan lewat petang tadi.
Sidang Media tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun; Pengerusi Amanah Negeri Sembilan yang juga Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ MK Ibrahim Abd Rahman, semua ADUN Pakatan Harapan Negeri Sembilan dan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin.




