Berita

Penurunan Takhta Perlu Ikut UUTKNS, Kerajaan Negeri Tolak Tindakan Tidak Berperlembagaan

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Sebarang proses penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar mesti dilaksanakan mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959), sambil menolak sebarang tindakan yang tidak mematuhi lunas perlembagaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri tidak mengiktiraf pengisytiharan penurunan takhta DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir kerana ia tidak memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah UUTKNS 1959.

“Tindakan tersebut bukan sahaja tidak sah dari segi perlembagaan, malah dibuat oleh pihak yang tidak lagi mempunyai kuasa, selain bercanggah dengan peruntukan Perkara 10 hingga 12 dalam undang-undang tubuh negeri.

“Kerajaan negeri menegaskan bahawa tindakan ini tidak boleh diterima kerana tidak mengikut prosedur yang sah sebagaimana diperuntukkan oleh perlembagaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada pengisytiharan yang dibuat pada 19 April lalu di Balai Undang Luak Sungai Ujong, yang didakwa tidak melalui proses yang sah.

Menurutnya, UUTKNS 1959 memperuntukkan dua kaedah penurunan takhta, iaitu secara sukarela di bawah Perkara 9 atau melalui keputusan Dato’-Dato’ Undang di bawah Perkara 10.

“Namun, tindakan di bawah Perkara 10 perlu melalui proses “full and complete enquiry” yang telus, bebas serta mematuhi prinsip keadilan semula jadi sebelum sebarang keputusan boleh dibuat.

“Proses ini merangkumi siasatan menyeluruh, penilaian bukti serta memberi ruang kepada pihak terlibat untuk menjawab tuduhan secara adil,” tambahnya.

Hanya selepas proses tersebut disempurnakan, barulah Dato’-Dato’ Undang boleh membuat keputusan sama ada untuk memanggil baginda berundur sementara atau turun takhta sepenuhnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa sebarang keputusan hanya berkuat kuasa selepas proklamasi rasmi dikeluarkan dengan tandatangan Dato’-Dato’ Undang dan Menteri Besar.

“Selagi proklamasi itu belum disempurnakan, keputusan tersebut tidak mempunyai kesan dari sudut perlembagaan.

“Sehubungan itu, pengumuman penurunan takhta yang dibuat adalah tidak berasas dan tidak memperincikan tatacara yang sewajarnya.

“Kerajaan negeri mengambil pendirian untuk tidak menerima pengumuman tersebut demi memelihara keharmonian dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa pentadbiran kerajaan negeri akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan, dengan keutamaan diberikan kepada kestabilan serta kepentingan rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button