Berita
Penangguhan Sidang DUN Dibuat Atas Cadangan BN, Kerajaan Negeri Terus Fokus Tadbir Urus
Nur Syafiqah Mohd Jemmi
SEREMBAN: Cadangan menangguhkan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dikemukakan wakil Barisan Nasional (BN) dalam satu pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan sebelum sidang berlangsung.
Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, cadangan itu dibangkitkan dalam pertemuan di kediaman rasmi Menteri Besar dan dipersetujui secara bersama bagi memastikan kelancaran situasi semasa.
“Kerajaan negeri mengambil maklum cadangan itu dan bersetuju untuk menangguhkan persidangan DUN berdasarkan kesepakatan yang dicapai dalam perbincangan tersebut.
“Kehadiran ADUN ketika itu juga mencerminkan sokongan berterusan terhadap institusi diraja serta Dewan Undangan Negeri sebagai badan legislatif negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar di sini hari ini, yang turut dihadiri 16 ADUN Pakatan Harapan (PH), termasuk Anthony Loke Siew Fook.
Sidang media berkenaan diadakan susulan tindakan 14 ADUN BN menarik sokongan terhadap kepimpinan beliau sebagai Menteri Besar.
Menurutnya, empat Exco termasuk seorang Exco Kanan daripada BN telah menemuinya pada malam sebelum perasmian persidangan DUN.
“Selepas perbincangan, kami bersetuju supaya perasmian diteruskan seperti biasa manakala mesyuarat ditangguhkan. Itu merupakan hasrat daripada BN sendiri dan akhirnya dipersetujui untuk menangguhkan sidang yang sepatutnya berlangsung hari ini.
“Justeru, saya agak terkejut apabila kemudian dimaklumkan mereka tidak lagi bersetuju dengan saya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan sebarang hasrat menarik sokongan sepatutnya dibawa ke dalam persidangan DUN bagi membolehkan usul undi percaya dikemukakan dan diputuskan secara tertib.
Mengulas kedudukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada BN, Aminuddin berkata kekosongan telah berlaku susulan tindakan tersebut.
“Pengisian jawatan Exco akan diteliti dan diputuskan kemudian selaras dengan keperluan pentadbiran negeri. Buat masa ini, perkara tersebut masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan,” katanya.