BeritaMenarik

Dasar Perumahan Negeri Sembilan bantu lebih ramai memiliki Rumah Mampu Milik

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah membuat penambahbaikan ke atas Dasar Perumahan Negeri Sembilan bagi memastikan pembeli rumah dan pemaju sama-sama menerima manfaat ke atas pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Type A di seluruh Negeri Sembilan yang seiring dengan keperluan harga pasaran semasa harga rumah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, dasar tersebut telah berkuatkuasa sejak 1 Februari 2024 dan daripada 50 peratus komponen rumah mampu milik tersebut, sebanyak 20 peratus adalah bagi RMM Type A yang berharga maksimum RM80,000 telah dinaikkan kepada RM110,000 yang mana kelayakan pendapatan kasar bagi seisi rumah telah dinaikkan daripada RM3,500 kepada RM4,500.

“Manakala, 15 peratus lagi adalah RMM Type B berharga antara RM81,000 ke RM250,000 dan baki 15 peratus adalah RMM Type C yang berharga antara RM251,000 sehingga RM450,000,” jelas beliau.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Pengundian Rumah Mampu Milik (RMM) Type A, Taman Iringan Bayu (Fasa 1) di Mambau.

Turut hadir, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, YB J.Arul Kumar.

Sementara itu, Aminuddin berkata projek Taman Iringan Bayu (Fasa 1) ini telah siap dibina oleh pemaju dan sedia untuk diduduki.

“Melalui pelaksanaan dasar ini, sebanyak 140 unit RMM Type A berharga RM80,000 tersedia untuk pemohon yang berjaya dalam sesi undian pada petang tadi.

“Kerajaan Negeri telah menerima sebanyak 1,544 permohonan bagi projek RMM Type A, Taman Iringan Bayu (Fasa 1) ini.

“Daripada jumlah tersebut, hanya 140 orang pemohon melepasi syarat yang ditetapkan dan berjaya dalam tapisan yang dilaksanakan oleh Pejabat Tanah dan Galian, Negeri Sembilan.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua pemohon yang berjaya,” kata Aminuddin.

 

Show More

Related Articles

Back to top button