Berita

Dasar Wanita Negara 2025

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita melangkah ke hadapan dengan lebih kukuh dalam memperkasa wanita!

Bersempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah melancarkan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita Tahun 2025-2030 (DWN dan PTPW 2025-2030), sebuah dasar komprehensif yang dirangka untuk memastikan wanita mendapat peluang, perlindungan, dan sokongan yang adil dalam semua aspek kehidupan.

Dasar ini berteraskan prinsip kesaksamaan, keadilan dan inklusiviti serta berpandukan Malaysia MADANI, dengan empat fokus bidang keutamaan yang akan membawa perubahan bermakna:

1. Ekonomi
2. Kepimpinan
3. Keselamatan
4. Kesejahteraan

Pelaksanaan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita Tahun 2025-2030 ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih adil, maju dan inklusif untuk semua.

Dalam pada itu, Anwar dalam ucapannya menekankan mengenai kepentingan pembangunan keluarga dalam kehidupan seharian.

“Ianya tidak harus dipinggirkan, kerana setiap kejayaan yang ditempa bermula dari institusi keluarga yang berpaksikan wanita sebagai inspirasi dalam membina legasi,” kata Anwar.

Sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini telah disempurnakan oleh Anwar di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, sambutan Hari Wanita bukan sekadar untuk meraikan wanita, tetapi adalah bukti bahawa pemerkasaan wanita adalah salah satu agenda Kerajaan MADANI yang diberi fokus utama kerana sumbangan wanita dalam membentuk masa depan masyarakat amat besar dan penting.

Sokongan orang ramai terhadap Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 ini juga diterjemahkan melalui kehadiran mereka ke program hari ini yang menyajikan pelbagai pengisian menarik antaranya Bual Bicara Wanita, Pelancaran Setem Hari Wanita Antarabangsa 2025, Pameran Agensi Kerajaan dan Rakan Strategik, Demo Pertahanan Diri dan banyak lagi.

Majlis hari ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah KASIH Wanita Bakti, Anugerah KASIH Wanita Cekal, Anugerah KASIH Wanita Harmoni dan Anugerah KASIH Wanita Komuniti kepada empat wanita hebat atas sumbangan dan usaha yang mereka lakukan bagi membantu memperkasa wanita dan sebagai tanda pengiktirafan kepada kejayaan mereka.

Hadir sama dalam majlis ini ialah isteri Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr.Wan Azizah Dr.Wan Ismail; Timbalan Menteri KPWKM, Dato’ Seri Dr.Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha KPWKM, Dato’ Dr.Maziah Che Yusoff dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit.

Bersama kita memperkasa wanita, membina masa depan lebih cerah.

Show More

Related Articles

Back to top button