Negeri Sembilan, atau jolokan terbaharu kepadanya iaitu ‘Negeri Perpaduan’ benar-benar menjadi suatu negeri contoh bagaimana persaudaraan terbina antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Walaupun pada awalnya, Kerajaan Perpaduan ini mendapat tentangan daripada ahli-ahli akar umbi dari BN, khususnya UMNO.
Alasan terbesar ketidakselesaan kerjasama ini adalah kerana kewujudan DAP dalam kerajaan ini.
Umum mengetahui, sejak berpuluh tahun lamanya ahli-ahli UMNO dimomokkan dengan pelbagai perilaku tidak senonoh oleh pemimpin DAP sehingga ia telah menjadi ‘darah daging’ dalam diri pemegang kad keahlian UMNO di negara kita, termasuklah di Negeri Sembilan.
Namun kredit wajar diberikan kepada kepimpinan UMNO Negeri Sembilan dan PH Negeri Sembilan kerana masing-masing telah memainkan peranan tersendiri dalam memberi pencerahan dan penjelasan kepada ahli akar umbi parti masing-masing.
Selain daripada kaedah pencerahan melalui organisasi kepartian, kita harus akui juga bagaimana kecerdikan kepimpinan yang tertib dan beradab telah digerakkan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan dan YB Exco Kanan Negeri Sembilan agar tiada sebarang cacat cela yang menguris sensitiviti mana-mana ahli parti politik di negeri ini.
Mereka berdua telah memainkan peranan yang cukup besar bagi membawa cerminan sebenar bahawa Negeri Sembilan ini adalah ‘Negeri Perpaduan’.
Impaknya, setelah usia Negeri Perpaduan menjengah satu tahun, maka masyarakat akar umbi sudah mula merasakan kemanisan melalui kerjasama yang dibentuk sejak Pilihan Raya Negeri ke-15 pada Ogos 2023 yang lalu.
Tidak begitu keterlaluan jika kita sebutkan bahawa keharmonian politik di Negeri Sembilan ini boleh dijadikan contoh terbaik kepada negeri-negeri lain yang ada di dalam negara kita.
Istilah ‘Negeri Perpaduan’ yang sebenar telah dinatijahkan oleh kecerdikan kedua-dua pemimpin utama parti ini, dengan didarab kemas oleh sembilan orang Ahli Majlis Kerajaan Negeri yang lain dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang lain.
Lima ahli dewan yang mewakili parti pembangkang di Negeri Sembilan juga harus mengakui dan menyedari bahawa keharmonian yang telah wujud antara BN dan PH di negeri ini merupakan suatu senario politik terbaik dan bersifat terkehadapan dalam sejarah politik tanah air negara, terutama politik negeri ini.
Yang lebih penting bagi kita semua adalah Negeri Perpaduan yang terbentuk sekarang ini haruslah dirasai oleh segenap lapisan masyarakat di Negeri Sembilan dan diterjemahkan melalui pegangan prinsip perpaduan yang sebenar antara bangsa, agama, keturunan dan etnik.
Sarfarizmal Md Saad
Pegawai Khas Media Exco Kanan Negeri Sembilan