Eco Business Park 7 pemangkin kepada pembangunan di Parcel C, MVV 2.0

BANDAR ENSTEK: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun telah melancarkan Taman Perindustrian Eco Business Park 7 di Parcel C, Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), satu lagi pembangunan strategik hasil kerjasama erat antara Eco World Development Group Berhad, NS Corporation dan SD Guthrie Berhad.
“Kerjasama antara Eco World, NS Corporation dan SD Guthrie ini saya lihat mampu membuka lebih banyak ruang kejayaan pada masa hadapan, menjadikan Negeri Sembilan antara pemacu utama pertumbuhan negara.
“Projek ini adalah bukti nyata kejayaan kerjasama awam dan swasta dalam menterjemahkan perancangan kepada realiti dengan mewujudkan taman perindustrian moden berteraskan kelestarian, inovasi dan kesejahteraan komuniti setempat.
“Eco Business Park 7 ini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri khususnya di Parcel C, MVV 2.0,” kata Aminuddin.
Aminuddin tambah, Eco Business Park 7 juga bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan seiring dengan peranan negeri ini dalam Kluster Industri Wilayah Tengah bersama Selangor, Melaka dan Wilayah Persekutuan.
“Pembangunan Eco Business Park 7 ini akan memberi kita peluang untuk memanfaatkan kelebihan tersebut seterusnya menjadi titik peralihan kepada ekonomi berteknologi tinggi dan berdaya saing pada masa hadapan.
“Namun, dalam kepesatan pembangunan yang sedang berjalan, suka untuk saya tegaskan bahawa kita harus memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh pelbagai pihak.
“Tumpuan harus diberi bagi mewujudkan pekerjaan yang bermakna, kemahiran yang ditambah baik dan pendapatan yang stabil.
“Ia memberi tumpuan kepada sektor berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik, aeroangkasa, farmaseutikal serta teknologi makanan.
“Dengan pelaksanaan projek-projek strategik di bawah Malaysia Vision Valley 2.0, Kerajaan Negeri komited memastikan pembangunan yang mampan, peluang pekerjaan berkualiti dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” ujar Aminuddin.



