Eksesais Shield Search & Rescue (SAR) 2026 bukti kesiapsiagaan 30 agensi – Aminuddin

PORT DICKSON: Pelaksanaan Eksesais Shield Search & Rescue (SAR) 2026 membuktikan tahap kesiapsiagaan tinggi serta kerjasama bersepadu antara 30 agensi dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, latihan berskala besar itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh koordinasi antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi awam dalam pengurusan operasi kecemasan.
“Penganjuran latihan ini tercetus hasil perbincangan bersama Panglima Angkatan Tentera pada 24 Januari lalu susulan keperluan mendesak untuk mewujudkan kerjasama yang lebih mantap dalam operasi SAR.
“Sebelum ini, latihan yang dilaksanakan di Seremban hanya melibatkan pasukan darat sahaja.
“Kali ini kita berjaya melaksanakan kedua-duanya sekali gus dengan penglibatan 30 agensi,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Eksesais (SAR) di Pantai Batu 1, Port Dickson, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemilihan Port Dickson sebagai lokasi latihan adalah bertepatan memandangkan kedudukannya yang berhampiran laluan penerbangan utama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Kawasan itu terletak dalam lingkungan zon final approach landing sekitar 10 hingga 15 batu nautika dari landasan, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan udara kepada kawasan berpenduduk.
“Justeru, simulasi nahas pesawat yang dilaksanakan dalam latihan ini adalah sangat relevan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan latihan kali ini turut mencatat sejarah apabila melibatkan operasi darat dan laut secara serentak, berbanding sebelum ini yang hanya tertumpu kepada operasi darat.
“Ini merupakan satu perkembangan positif dan kita juga melihat potensi untuk memperluaskan latihan pada masa akan datang, termasuk memberi fokus kepada operasi di perairan memandangkan laluan Selat Melaka merupakan laluan yang padat,” katanya.
Tambah Aminuddin Harun, demonstrasi yang dipamerkan bukan sahaja menguji keupayaan agensi terlibat, malah turut menjadi tarikan kepada pelancong domestik.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kesiapsiagaan, malah secara tidak langsung membantu merancakkan sektor pelancongan dan memperkukuh imej Port Dickson sebagai bandar ketenteraan darat,” katanya.



