Berita

Elaun Tugas Atas Panggilan (On Call) doktor dinaikkan 40 peratus

KUALA LUMPUR: Melalui Belanjawan 2026, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terus menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap kebajikan dan jaminan kerjaya petugas kesihatan.

Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan di Dewan Rakyat; adalah tidak benar bahawa Belanjawan 2026 tidak berpihak kepada petugas kesihatan.

“Hakikatnya, langkah-langkah strategik telah dan sedang diambil bagi memastikan kesejahteraan barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus terpelihara.

“Antara langkah utama ialah peningkatan gaji dan elaun sebanyak RM27.2 bilion diperuntukkan bagi pembayaran gaji petugas kesihatan mulai Januari 2026, manakala Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) dinaikkan sekitar 40 peratus berkuat kuasa 1 Oktober 2025.

“Jaminan kerjaya dan lantikan tetap apabila seramai 4,500 pegawai perubatan kontrak dan 935 graduan jururawat Institut Latihan KKM akan ditawarkan jawatan tetap pada tahun 2026.

“Kebajikan tempat tinggal turut mendapat perhatian kerajaan. Sebanyak RM2.2 bilion diperuntukkan untuk membina, menyelenggara dan membaiki kuarters bagi penjawat awam termasuk petugas kesihatan,” jelas Dzulkefly.

Menurut beliau lagi, sehingga 17 Oktober 2025, sebanyak 1,315 pegawai perubatan telah ditawarkan pelantikan tetap untuk berkhidmat di Sabah (550) dan Sarawak (765).

“Semua ini menggambarkan satu mesej yang jelas iaitu Kerajaan MADANI menghargai jasa, pengorbanan dan amanah besar petugas kesihatan kita,” kata Dzulkefly semasa Ucapan Penggulungan Belanjawan 2026 di Parlimen.

 

Show More

Related Articles

Back to top button