SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J.Arul Kumar telah meninjau keadaan tiga buah kolam tadahan air di Bandar Hamilton Nilai dan satu lagi kolam tadahan di Desa Jasmin, Nilai.
Beliau berkata, air yang keluar dari tiga kolam tadahan di Bandar Hamilton akan mengalir masuk ke kawasan Pekan Nilai melalui Sungai Batang Labu, Sungai Momor dan Sungai Batang Nilai.
Kolam tadahan Desa Jasmin pula mengeluarkan air dari sana ke Pekan Nilai melalui Sungai Sekah.
Pembangunan pesat yang berlaku di keliling kawasan Pekan Nilai, iaitu Bandar Baru Nilai dan Bandar Hamilton menyebabkan kawasan yang paling rendah, iaitu Pekan Nilai selalu dinaiki banjir.
“Untuk tindakan jangkamasa pendek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Seremban telah meminta pemaju Bandar Hamilton untuk mendalamkan lagi kolam tadahan tersebut dan air dikeluarkan semasa bukan hujan.
“JPS juga telah mengeluarkan semua air yang bertakung di Kolam Tadahan Desa Jasmin, Nilai.
“Apabila air semua dikeluarkan dan kolam itu didalamkan lagi, semasa hujan air dapat bertakung dengan kuantiti yang lebih banyak dan air hujan tidak akan terus turun ke Pekan Nilai dan risiko banjir dapat dikurangkan,” jelas Arul Kumar.
Arul Kumar yang juga Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan berkata, ini adalah antara tindakan awal yang dilakukan sekarang dan akan diteruskan sehingga beberapa projek yang telah diluluskan peruntukan seperti naiktaraf Kolam Tadahan Desa Jasmine Nilai, menaiktaraf sistem perparitan Pekan Nilai dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Batang Labu selesai dilaksanakan yang akan membantu mengurangkan risiko banjir di Pekan Nilai.