Pusat perubatan tradisional cina dan fisioterapi INTI dilancar, perkasa kesihatan bersepadu

NILAI: Kerajaan Negeri Sembilan terus memperkukuh agenda kesihatan bersepadu apabila Pusat Perubatan Tradisional Cina (TCM) dan Fisioterapi Universiti Antarabangsa INTI dirasmikan oleh Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman, sempena penganjuran Karnival Kesihatan 2026 di sini, hari ini.
Tengku Zamrah berkata, penubuhan pusat berkenaan mencerminkan satu langkah progresif dalam memperkasa sistem perkhidmatan kesihatan negeri dengan menggabungkan rawatan moden dan tradisional secara holistik demi manfaat masyarakat pelbagai lapisan.
“Penubuhan pusat ini membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan rakyat mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh, berkualiti dan inklusif.
“Pendekatan kesihatan bersepadu yang ditawarkan melalui pusat ini bukan sahaja menyokong rawatan klinikal moden, malah memberi ruang kepada perubatan tradisional Cina dan fisioterapi sebagai pelengkap kepada penjagaan kesihatan menyeluruh.
“Sementara itu, Karnival Kesihatan 2026 yang dianjurkan serentak turut menawarkan pelbagai aktiviti kepada orang ramai termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, sesi konsultasi TCM dan fisioterapi, demonstrasi rawatan serta ceramah kesihatan,” kata Tengku Zamrah.
Tambahnya, penganjuran karnival itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan secara holistik serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti setempat.
“Saya yakin usaha murni ini mampu menjadi pemangkin kepada kesejahteraan komuniti, di samping memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi dan kerajaan negeri demi masa depan yang lebih sihat dan sejahtera untuk semua,” katanya.



