Berita

Galeri NS Choice @ Sunggala Prima perkasa usahawan tempatan

PORT DICKSON: Inisiatif Galeri NS Choice @ Sunggala Prima terus memainkan peranan penting dalam memperkasa usahawan tempatan di Negeri Sembilan melalui platform pemasaran yang lebih tersusun dan berdaya saing.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam berkata, galeri tersebut diwujudkan menerusi Belanjawan 2026 Negeri Sembilan sebagai usaha memperkukuh kedudukan produk tempatan di pasaran.

“Saya berkesempatan melawat Galeri NS Choice @ Sunggala Prima, sebuah inisiatif yang diusahakan melalui Belanjawan 2026 Negeri Sembilan dalam usaha memperkasa usahawan tempatan.

“Galeri berkenaan menyediakan ruang khas kepada usahawan, khususnya dari Negeri Sembilan, untuk memasarkan produk secara lebih sistematik dan kompetitif.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan keterlihatan produk tempatan, malah membuka peluang pasaran yang lebih luas,” jelasnya.

Sehingga kini, lebih 24 syarikat terlibat dalam inisiatif NS Choice bersama penyertaan syarikat lain yang berminat, dengan lebih 150 produk berjaya dipamerkan di galeri tersebut.

“Sebagai komitmen berterusan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 menerusi Belanjawan 2026 bagi memastikan kelangsungan dan kejayaan inisiatif itu.

“Saya berharap usaha berkenaan akan terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan serta memperkukuh keupayaan usahawan negeri untuk bersaing pada tahap lebih tinggi,” ujar Veerapan.

Show More

Related Articles

Back to top button