MAINS hargai kakitangan cemerlang 2025

PORT DICKSON: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2025 sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan kakitangannya serta menggalakkan penyampaian perkhidmatan yang lebih cemerlang selaras dengan misi dan visi organisasi.
Seramai 30 kakitangan telah menerima anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi MAINS, Mohd Shahrom Nordin, bersama Setiausaha MAINS, Zainal Said.
Majlis yang berlangsung di Tasik Villa Port Dickson itu menyaksikan sebanyak 10 kategori anugerah disampaikan, termasuk Penghargaan Pegawai Tanpa Tuntutan Perubatan, Pemenang Latih Tubi Taksiran Zakat, Pertandingan Hiasan Pejabat sempena Aidilfitri, Pemenang Jaguh Digital Kahoot, serta Anugerah Utama Jasamu Dikenang bagi pesara pilihan dan wajib.
Turut disampaikan ialah Anugerah Paling Lama Berkhidmat dan Anugerah Khas Setiausaha sebagai pengiktirafan terhadap komitmen serta dedikasi kakitangan.
Bagi kategori Anugerah Unit Terbaik, ia dimenangi oleh Unit Majikan, Bahagian Kutipan dan Unit Ejen dan Majikan, Bahagian Wakaf.
Sementara itu, Anugerah Daerah atau Cawangan Terbaik dimenangi oleh MAINS Cawangan Seremban 2.
Dalam majlis sama, turut berlangsung penyampaian penghargaan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Negeri Sembilan kepada kumpulan Captivators serta penyampaian Anugerah Inovasi Negeri Sembilan (AIN9).
Hadir sama Timbalan Setiausaha (Pengurusan) MAINS, Mohamad Idris Ramli bersama pegawai dan kakitangan MAINS.




