Berita

Zunita Santuni Mangsa Rumah Terbakar Di Kuala Pilah

KUALA PILAH: Sebuah keluarga di Kampung Nuri, Johol berdepan detik sukar apabila kediaman mereka musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi.

Menerusi hantaran sosial media Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kerajaan Negeri Sembilan, Noor Zunita Mohd Ibrahim, beliau berkesempatan turun padang menziarahi keluarga terlibat bagi menyantuni serta melihat sendiri keadaan pasca kejadian yang menyayat hati itu.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Melihat keadaan rumah yang musnah keseluruhannya, hati ini turut merasa hiba,” katanya.

“Walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun kehilangan tempat tinggal, harta benda serta dokumen penting memberi kesan mendalam kepada keluarga berkenaan.

“Sejurus menerima laporan kejadian, Unit Kebajikan Produktif, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyalurkan bantuan segera bencana serta sumbangan bakul makanan bagi memenuhi keperluan asas mangsa,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi melalui Pejabat Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai tanda sokongan kepada keluarga tersebut.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan yang bersama-sama menghulurkan bantuan serta memberi kata-kata semangat kepada mangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button