Gunasekaren lawat kompleks As Saadah
SEREMBAN JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaren mengadakan lawatan ke Kompleks As Saadah yang terletak di Taman Seri Rahang bagi meninjau peranan serta keunikan kompleks berkenaan sebagai ruang komuniti masyarakat setempat.
Gunasekaren berkata, lawatan yang berlangsung sekitar jam 2.00 petang itu turut disertai Saudara Albert dari Sungai Ujung Club, dengan tumpuan diberikan kepada fungsi Kompleks As Saadah sebagai pusat komuniti yang bersifat inklusif dan terbuka kepada semua lapisan penduduk.
“Kompleks As Saadah mempunyai keunikan tersendiri menerusi reka bentuk seni bina berunsurkan elemen Cina yang mewujudkan suasana mesra rakyat, harmoni serta mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat di kawasan berkenaan.
“Kewujudan ruang komuniti seperti Kompleks As Saadah amat penting dalam memperkukuh hubungan masyarakat serta memupuk semangat perpaduan tanpa mengira latar belakang kaum dan budaya.
“Lawatan berkenaan secara tidak langsung memberi pendedahan terhadap kepentingan pembangunan ruang komuniti yang inklusif, selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sembilan dalam mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini,” kata Gunasekaren.


