Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035: Kerajaan MADANI serius melakukan lonjakan landskap pendidikan negara

PUTRAJAYA: Pendidikan bukan semata-mata soal pencapaian akademik atau kecemerlangan teknikal, ia adalah usaha besar membentuk insan yang berakal, beradab dan berjiwa kemanusiaan.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 mencerminkan ikhtiar serius Kerajaan MADANI untuk melakukan lonjakan bermakna dalam landskap pendidikan negara.
“Lonjakan ini mesti berakar kukuh pada jati diri, nilai dan budaya Malaysia, sambil berani menguasai disiplin serta cabaran baharu yang dituntut oleh zaman yang pantas berubah.
“Bahasa Melayu wajib terus dimartabatkan sebagai bahasa ilmu, pemikiran dan wahana perpaduan nasional.
“Pada masa yang sama, penguasaan Bahasa Inggeris perlu diperkasa agar anak-anak kita berkeyakinan, berdaya saing dan mampu berperanan secara bermakna di pentas antarabangsa,” kata beliau.
Anwar berkata, komitmen terhadap pendidikan percuma, akses yang lebih adil serta peluasan peluang pembelajaran akan terus diperkukuh, demi memastikan tiada anak bangsa yang tercicir hanya kerana latar belakang atau kekangan sosioekonomi.
“Namun, kita harus insaf bahawa pelan yang baik tidak diukur pada keindahan dokumen atau kehebatan pidato sebaliknya terletak pada keberanian untuk melaksanakannya dengan tekad yang kental, disiplin yang tinggi dan integriti yang tidak boleh ditawar.
“Inilah amanah besar yang mesti kita pikul secara bersama.
“Insya Allah, melalui pendidikan yang berteraskan karamah insaniah, kita akan melahirkan generasi berilmu dan berakhlak, seterusnya membina Malaysia MADANI yang adil, progresif dan benar-benar berperikemanusiaan,” jelas Anwar lagi.



