Hujan Lebat, Angin Kencang Berterusan Hingga Selasa

Hujan lebat berterusan, angin kencang dan keadaan laut bergelora dijangka melanda beberapa negeri di utara dan barat Semenanjung hingga Selasa akibat pengaruh sistem cuaca yang kini aktif di sekitar perairan negara.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa cuaca signifikan ini berpunca daripada satu sistem tekanan rendah yang terbentuk di Selat Melaka dan berada berhampiran kedudukan 5.4°U 98.3°T sebelum dijangka bergerak perlahan ke arah barat laut menuju ke Teluk Benggala dalam tempoh 36 jam.
Menurut MetMalaysia, kemungkinan intensiti sistem tersebut meningkat menjadi siklon tropika lemah atau lekukan tropika adalah rendah.
Namun, keadaan berkenaan masih berpotensi membawa hujan lebat dan tiupan angin kuat di negeri-negeri utara dan barat Semenanjung antara 23 hingga 25 November.
Sehubungan itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan kategori “Bahaya”, “Buruk” dan “Waspada” yang berkuat kuasa sehingga Selasa manakala amaran angin kencang dan laut bergelora turut dikeluarkan untuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Selangor sehingga esok.
Agensi itu juga memaklumkan bahawa maklumat dan amaran cuaca akan dikemas kini mengikut situasi semasa.



