Berita

Hunan Yuneng New Energy Battery Material dari China bakal melabur di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mencipta satu lagi sejarah penting apabila berlangsungnya Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPD Tech Valley, syarikat tenaga bateri terkemuka dari China iaitu Hunan Yuneng New Energy Battery Material Co. Ltd, dan agensi pelaburan negeri, Invest NS.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, MoU ini bukan sekadar pertukaran dokumen, tetapi simbol keyakinan terhadap potensi besar yang dimiliki oleh Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan masa hadapan.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada pelan strategik di bawah inisiatif Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) yang menyasarkan pembangunan teknologi dan pelaburan di daerah Seremban dan Port Dickson.

“SPD Tech Valley akan menjadi nadi kepada pertumbuhan industri pintar, mampan dan berdaya saing – memberi impak besar kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

“Kemasukan pelabur seperti Hunan Yuneng membawa bersama bukan sahaja pelaburan modal, malah kepakaran teknologi dalam bidang tenaga baharu.

“Ini secara langsung akan memperkukuh ekosistem industri tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi buat rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri menerusi Invest NS akan terus memainkan peranan sebagai pemudahcara kepada para pelabur.

“Inisiatif ‘Fast Lane’ akan memastikan segala proses pelaburan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, cepat dan lancar – selaras dengan aspirasi kita untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan utama dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Semoga MoU ini menjadi permulaan kepada kerjasama lebih erat, bukan sahaja dalam bidang industri dan teknologi tetapi juga dalam memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

“Saya yakin, dengan semangat kerjasama dan perancangan yang rapi, segala usaha ini akan dapat direalisasikan dengan jayanya demi masa depan Negeri Sembilan yang lebih gemilang,” ujar Aminuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button