Ibu bapa mainkan peranan kehadiran anak ke sekolah

REPAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, Veerapan Superamaniam menegaskan bahawa ibu bapa memainkan peranan kehadiran anak ke sekolah.
“Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang menetapkan kewajipan pendidikan di peringkat rendah, dengan pindaan terkini menerusi Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 memperluas kewajipan tersebut ke peringkat menengah.
“Kegagalan mematuhi peruntukan ini boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
“Ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan kadar kehadiran dan mengurangkan masalah keciciran pendidikan,” kata Veerapan.
Veerapan berkata demikian di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-53 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Kelamah.
Dalam pada itu, Veerapan turut memberikan sumbangan kewangan sebanyak RM3,000 kepada PIBG sekolah tersebut.
“Sumbangan tersebut adalah bagi membantu PIBG menjalankan aktiviti dan pembangunan pendidikan di sekolah,” ujarnya.