INFLUENZA: Aminuddin nasihatkan rakyat jaga kesihatan diri dan keluarga

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menasihatkan rakyat Negeri Sembilan agar terus menjaga kesihatan diri dan keluarga masing-masing; berikutan peningkatan Kluster Influenza/Influenza-like-illness di negeri ini.
“Amalkan kebersihan diri dan persekitaran termasuk kerap mencuci tangan, serta patuhi etika batuk dan bersin yang betul.
“Bagi mereka yang bergejala, dapatkan rawatan awal.
“Sentiasa memakai pelitup muka dan elakkan hadir ke sekolah, tempat kerja atau majlis keramaian bagi mengelakkan penularan jangkitan,” katanya.
Aminuddin menambah, golongan berisiko seperti kanak-kanak dan ibu hamil digalakkan untuk mendapatkan vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh klinik-klinik swasta.
“Bagi warga emas dan mempunyai penyakit kronik, ambil peluang ini untuk mendapatkan suntikan influenza yang disediakan di klinik-klinik kesihatan kerajaan.
“Selain itu, saya menyeru semua sekolah dan institusi pendidikan supaya terus memantau gejala dalam kalangan pelajar.
“Jika terdapat penularan di sekolah, maklumkan ke Pejabat Kesihatan terdekat.
“Sekolah juga perlu memastikan kebersihan dan pengudaraan bilik darjah berada pada tahap yang baik,” ujar beliau.
Aminuddin berkata demikian di Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.



