Tengku Zamrah Hadiri Mesyuarat MExUnity, Sokong Agenda Malaysia MADANI

KUALA LUMPUR: Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman menghadiri Mesyuarat MExUnity Bilangan 2 Tahun 2025 yang dipengerusikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang bertempat di Millennium Ballroom, Hotel Grand Millennium Kuala Lumpur.
Mesyuarat berkenaan menghimpunkan Menteri Perpaduan Negeri Sabah dan Sarawak serta Exco-Exco Perpaduan Negeri bagi membincangkan agenda utama ke arah memperkukuh perpaduan nasional dan keharmonian sosial di bawah semangat Malaysia MADANI.
Antara perkara penting yang dibincangkan termasuk perancangan Persidangan Negara Bangsa, penjajaran peranan Kementerian Perpaduan Negara dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta inisiatif Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) yang menjadi nadi penyatuan komuniti di seluruh negara.

Dalam suasana perbincangan yang penuh semangat, mesyuarat tersebut menegaskan bahawa kekuatan Malaysia lahir daripada perpaduan rakyatnya sebagaimana pepatah Melayu menyebut “Bersatu teguh, bercerai roboh.”
Nilai kasih, hormat dan kefahaman bersama menjadi asas kepada perpaduan yang kukuh dan harmoni.



