SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan meneruskan inisiatif sedia ada pada tahun 2025.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri dalam proses merangka Belanjawan Kerajaan Negeri Sembilan bagi tahun 2025.
“Inisiatif sedia ada kita tidak akan batalkan, bermakna kita akan teruskan dan mungkin akan ada sedikit penambahbaikan.
“Kalau Kerajaan Negeri mempunyai lebihan bajet, mungkin kita akan tambah insiatif baharu pada Belanjawan 2025 nanti,” kata Aminuddin pada sidang media di Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Yayasan Negeri Sembilan di Royal Chulan, Seremban.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata Kerajaan Negeri akan mengikut apa jua keputusan Kerajaan Persekutuan dan akan patuh sepenuhnya termasuk berkaitan kenaikan gaji penjawat awam.
“Kita ada bincang bagaimana untuk menyerap perbelanjaan emolumen berkaitan kenaikan gaji penjawat awam dalam Konsultasi Belanjawan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan baru-baru ini.
“Ini akan menambah pembayaran emolumen kepada penjawat awam Negeri Sembilan,” jelas Aminuddin.