GENEVA: Perhimpunan Inter-Parliamentary Union (IPU) kali ke-148 membuka ruang kepada seluruh ahli Parlimen untuk melontarkan cadangan dan sebagainya di peringkat antarabangsa.
Ahli Parlimen Jelebu, YB Dato’ Seri Jalaluddin Alias yang kini berada di Geneva, Switzerland bersama dengan delegasi Ahli Parlimen Malaysia yang lain berkata, ruang yang ada itu digunakan sebaik mungkin dan masing-masing dapat bertukar pandangan.
“Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha IPU dan AIPA. IPU (Inter-Parliamentary Union) ialah organisasi global Parlimen negara, memperkasakan Parlimen dan ahli Parlimen untuk menggalakkan keamanan, demokrasi dan pembangunan mampan.
“AIPA atau ASEAN Inter-Parliamentary Assembly ialah organisasi kerjasama antara Parlimen-parlimen di 10 negara anggota ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Delegasi yang lain terdiri daripada Senator Datuk Seri Zurainah Musa, Ahli Parlimen Jerantut Ir.Ts.Khairil Nizam Khirudin, Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen. – UMNO Online