![](https://negerikita.org/wp-content/uploads/2024/12/Jabatan-Kerajaan-1.jpg)
SEREMBAN: Belanjawan Negeri Sembilan 2025 satu pencapaian yang cemerlang kerana setelah sekian lama, Negeri Sembilan berjaya mencapai belanjawan berimbang dan bukan lagi defisit.
Justeru itu, EXCO (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau ingin membawa fokus semua jabatan untuk memanfaatkan segala inisiatif dan peruntukan yang telah diumumkan oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.
“Kerap kali saya sebutkan bahawa, hala tuju kita cukup jelas, yakni mahu rakyat Negeri Sembilan menerima manfaat semaksima yang mungkin daripada peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Pusat.
“Wang yang kita belanjakan itu haruslah sampai ke rakyat dengan sehabis baik.
“Kadangkala rakyat di luar sana tidak tahu berkenaan jenis bantuan dan peruntukan yang kita sediakan, jadi jabatan harus bertindak untuk bantu mereka dapatkan bantuan yang layak untuk mereka,” jelas Jalaluddin.
Jalaluddin berkata, tahun 2025 yang menjelang tiba merupakan tahun ketiga penggal Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.
“Sebab itu program-program yang dilaksanakan perlu lebih banyak menjurus kepada program touchpoint kepada rakyat.
“Saya mahu semua jabatan merangka cadangan takwim program bagi tahun 2025 dan hantarkan ke pejabat saya sebelum hujung tahun ini untuk saya buat penyelarasan dengan jadual saya.
“Insya Allah di tahun 2025, Negeri Sembilan akan meriah dengan pelbagai program dan inisiatif kepada rakyat yang berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan,” ujar beliau.
Jalaluddin berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup yang terakhir bagi tahun 2024 di Majlis Bandaraya Seremban.