SEREMBAN: EXCO (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, Dato’ Seri Jalaluddin Alias telah meminta Jabatan Pertanian Negeri Sembilan untuk menubuhkan satu Pasukan Bantuan Banjir Pertanian di negeri ini sebagai satu langkah drastik daripada jawatankuasa bertindak ini untuk membantu petani, penternak dan nelayan yang terjejas banjir di negeri ini.
“Pasukan ini akan diselaraskan oleh Pengarah Pertanian Negeri Sembilan.
“Saya juga telah mohon pegawai-pegawai Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar, Jabatan Perikanan yang ada di lapangan untuk buat semakan segera jumlah pengusaha yang terkesan dengan banjir, jumlah kerugian yang ditanggung, dan apa bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada mereka.
“Pihak Jabatan perlu memanfaatkan segala bentuk bantuan yang ada untuk membantu mangsa-mangsa yang terkesan ini.
“Kurangkan karenah birokrasi, dan permudahkan segala urusan mereka.
“Saya mahu jabatan di bawah portfolio saya mesra dengan rakyat dan dikenali dengan sebab servis dan perkhidmatan yang baik,” kata beliau.
Jalaluddin berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup yang terakhir bagi tahun 2024 di Majlis Bandaraya Seremban.