PERTANG: EXCO (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Jalaluddin Alias mahu Felda menjadi ‘gudang kecemerlangan pendidikan’ melalui generasi baharu Felda.
“Para pelajar perlu ada azam untuk menjadi anak generasi peneroka Felda yang memiliki kejayaan yang lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya.
“Itulah yang amat diharapkan oleh saya selaku wakil rakyat, dan itu jugalah yang menjadi cita-cita ibu bapa.
“Sebolehnya biarlah menjadi anak-anak yang mendapat pengiktirafan pendidikan di peringkat nasional dan dunia.
“Jangan sekadar selesa dengan apa yang ada sekarang,” kata Jalaluddin.
Jalaluddin berkata, beliau mahu para pelajar khususnya dari Felda harus berjiwa besar.
“Ini permulaan untuk kita mengorak langkah ke arah suasana kehidupan yang lebih baru (keluarga Felda mampu mencapai kejayaan ke peringkat setinggi mungkin).
“Semoga tahun mendatang lebih banyak kejayaan dicipta daripada anak-anak Felda, Insya-Allah,” ujar Jalaluddin yang juga ADUN Pertang.
Jalaluddin berkata demikian di Majlis Apresiasi Tingkatan 5, Hari Kualiti dan Sanjungan Budi Lambaian Kasih Sekolah Magnet SMK (F) Pasoh 2 di Batu Kikir.