Jambatan Baharu Kampung Batang Benar-Nilai dibuka, atasi kesesakan lebih 15 tahun

NILAI: Jambatan baharu yang menghubungkan Kampung Batang Benar dengan Kawasan Perindustrian Nilai kini telah mula digunakan, sekali gus menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang berlarutan lebih 15 tahun di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar berkata, pembukaan jambatan itu membolehkan pengguna menikmati dua laluan masuk dan keluar, sekali gus mengurangkan kesesakan yang sebelum ini berlaku apabila hanya sebuah jambatan digunakan.
“Isu kesesakan yang berlaku setiap hari sejak lebih 15 tahun berjaya diatasi.
“Ribuan kenderaan yang menggunakan laluan ini setiap hari kini tidak perlu lagi menunggu giliran untuk melalui jambatan tersebut kerana sudah ada dua jambatan serta dua laluan masuk dan keluar,” katanya.
Menurut beliau, beberapa penambahbaikan lagi akan dilaksanakan bagi memastikan aliran trafik di kawasan itu menjadi lebih lancar.

Menurut Arul Kumar, Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan peruntukan kira-kira RM10 juta bagi melaksanakan projek pembinaan jambatan berkenaan.
“Terima kasih kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun atas kelulusan peruntukan ini.
“Penghargaan juga kepada Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook, yang membantu menyelesaikan isu-isu teknikal bersama KTM dan RAC, serta JKR yang memastikan projek ini siap mengikut tempoh ditetapkan,” kata Arul Kumar.
Beliau turut memaklumkan bahawa besi penghadang yang lebih besar akan dipasang di jambatan berkenaan bagi menghalang kenderaan berat daripada menggunakan laluan tersebut.




