Berita

‘Jangan Takut, Abah Akan Jaga Kamu’ , Anak Sindrom Down Ubah Kehidupan Seorang Ayah

“Jangan Takut, Abah Akan Jaga Kau” – Anak Sindrom Down Ubah Kehidupan Seorang Ayah

KUALA PILAH: Kehadiran seorang anak perempuan yang menghidap Sindrom Down bukan menjadi beban, sebaliknya membawa perubahan besar dalam kehidupan seorang bapa apabila mengajarnya erti kasih sayang tanpa syarat.

Penasihat Persatuan Pembangunan Modal Insan Cobau FC, Kapten Mohd Azri Rahamat, berkata anak bongsunya yang kini berusia lapan tahun banyak mengubah perspektifnya tentang kehidupan, kesabaran dan tanggungjawab sebagai seorang ayah.

Menurutnya, anak istimewa itu mengajarnya mencintai seseorang tanpa mengharapkan sebarang balasan, malah membuatkan dirinya lebih menghargai setiap detik bersama keluarga.

“Saya ada empat orang anak. Tetapi anak Sindrom Down ini sejak dia lahir sampai sekarang, tidak pernah timbul sedikit pun perasaan marah terhadap dia.

“Dia mengajar kita tentang unconditional love, bagaimana kita menyayangi seseorang tanpa perlukan balasan. Itu satu pengalaman yang sangat indah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Parenting Talk: menangani anak bekeperluan khas peringkat Kuala Pilah 2026, di Sekolah Kebangsaan Tunku Munawir, di sini, hari ini.

Kapten Azri berkata, cabaran terbesar dalam membesarkan anak istimewa bukanlah dari segi penjagaan harian, tetapi apabila melihat anaknya berdepan masalah kesihatan.

“Ketika dilahirkan, anaknya terpaksa berada di hospital selama sebulan sebelum dibenarkan pulang, sebelum pemeriksaan lanjut mendapati terdapat masalah pada jantung serta komplikasi kesihatan lain.

“Anak saya masa lahir memang lama di hospital. Selepas enam bulan, kami mengetahui dia mempunyai masalah jantung dan perlu menjalani pembedahan.

“Namun cabaran paling besar adalah emosi kita sebagai ibu bapa apabila melihat anak tidak sihat atau sakit. Itu yang paling menguji,” katanya.

Mengimbau detik awal mengetahui keadaan anaknya, Kapten Azri berkata beliau pada mulanya sukar menerima kemungkinan anaknya menghidap Sindrom Down, namun akhirnya memilih untuk menerima amanah tersebut dengan penuh kasih sayang.

Katanya, perkara pertama yang terlintas dalam fikirannya ketika itu ialah janji kepada anaknya bahawa beliau akan sentiasa menjaganya.

“Saya masih ingat masa itu, saya tarik nafas, pejam mata dan tengok dia semula. Saya cakap dalam hati, jangan takut, Abah akan jaga kau.

“Itu azam pertama saya sebagai seorang ayah,” katanya.

Tambahnya, kehadiran anak istimewa itu turut membawa keharmonian dalam keluarganya apabila seluruh ahli keluarga sentiasa mencari anak bongsunya setiap kali pulang ke rumah.

“Kalau balik rumah, semua cari dia dulu. Saya cari dia dulu, isteri saya cari dia dulu, adik-beradik dia pun cari dia dulu. Dia membawa satu kebahagiaan yang sukar digambarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Kapten Azri berkata beliau terpanggil untuk berkongsi pengalaman bersama ibu bapa lain selepas melihat masih ramai keluarga terutama di kawasan luar bandar memerlukan sokongan dalam membesarkan anak-anak berkeperluan khas.

Hal ini kerana, selain sokongan daripada pihak sekolah dan guru pendidikan khas, masyarakat juga perlu memainkan peranan membantu keluarga yang mempunyai anak istimewa.

“Guru-guru PPKI lebih terlatih dan lebih memahami keperluan anak-anak ini. Sebagai masyarakat, kita perlu datang memberi sokongan kepada mereka.

“Kita boleh membantu dari segi kemudahan atau apa sahaja yang mampu supaya mereka lebih bersemangat menjaga anak-anak istimewa ini,” katanya.

Beliau turut menyeru supaya lebih banyak persatuan ibu bapa anak-anak istimewa diwujudkan bagi menjadi platform sokongan dan perkongsian pengalaman.

“Masyarakat perlu mengubah persepsi terhadap golongan istimewa dan tidak lagi melihat mereka sebagai sesuatu yang perlu dipandang rendah.

“Kita kena faham bahawa anak-anak istimewa ini memberikan kebahagiaan. Jangan ada stigma mengatakan mereka adalah akibat kesalahan ibu bapa.

“Mempunyai anak istimewa adalah satu pengalaman yang indah dan merupakan rezeki daripada Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran, Faizul Rahman berkata, program perkongsian seperti itu penting bagi membantu ibu bapa memahami keperluan sebenar anak-anak berkeperluan khas (MBPK).

Menurutnya, setiap anak mempunyai keperluan berbeza dan ibu bapa memerlukan pendedahan mengenai kaedah pengurusan yang sesuai bagi membantu perkembangan serta tahap kemandirian anak.

“Cabaran utama ibu bapa adalah memahami cara anak-anak ini berfikir dan memenuhi keperluan mereka kerana pendekatan yang digunakan tidak sama seperti kanak-kanak lain.

“Dengan adanya perkongsian daripada individu berpengetahuan seperti jurupulih cara kerja dan tenaga pendidik, ibu bapa dapat memperoleh panduan yang lebih baik untuk menguruskan anak-anak di rumah,” katanya.

Faizul yang mempunyai anak tunggal dengan diagnosis autisme ringan hingga sederhana berkata, cabaran turut dirasai apabila anak kurang mendapat pendedahan melalui interaksi bersama adik-beradik.

“Kadang-kadang pendedahan daripada adik-beradik membantu perkembangan anak. Jadi bagi anak tunggal, ibu bapa perlu mencari kaedah lain untuk memberikan pengalaman dan sokongan yang sesuai,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button