Berita

Kesedaran Ibu Bapa Terhadap Pendidikan MBPK Semakin Meningkat di Kuala Pilah

Kesedaran Ibu Bapa Terhadap Pendidikan MBPK Semakin Meningkat di Kuala Pilah

KUALA PILAH: Kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan pendidikan anak-anak berkeperluan khas (MBPK) menunjukkan peningkatan apabila semakin ramai terbuka menerima keadaan anak mereka serta mendapatkan sokongan bagi membantu perkembangan mereka.

Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Pilah, Kamanizam Tindek berkata, sokongan dan kerjasama ibu bapa amat penting bagi memastikan usaha membangunkan potensi MBPK yang dilaksanakan di sekolah dapat diteruskan di rumah.

“Guru-guru pendidikan khas di sekolah sememangnya mempunyai kemahiran dalam merancang aktiviti yang sesuai bagi membantu murid bersekolah, bersosial serta mencapai objektif pembelajaran, namun sokongan berterusan daripada keluarga amat diperlukan.

“Di sekolah, kita memang sudah ada kemahiran guru-guru untuk membina aktiviti yang boleh menyeronokkan mereka untuk bersekolah dan mencapai objektif sosial.

“Tetapi apabila anak-anak ini pulang ke rumah, kita amat memerlukan bimbingan, sokongan dan kefahaman daripada ibu bapa dari segi ilmu serta kemahiran untuk membina kemenjadian anak-anak MBPK ini selari dengan anak-anak arus perdana yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Parenting Talk: Menangani Anak Berkeperluan Khas Peringkat Kuala Pilah 2026 di Sekolah Kebangsaan Tunku Munawir, di sini, hari ini.

Kamanizam berkata, program tersebut merupakan inisiatif pertama di peringkat daerah Kuala Pilah yang menghimpunkan ibu bapa dan penjaga MBPK bagi mendapatkan bimbingan serta perkongsian bersama pihak kesihatan daerah.

“Seramai kira-kira 60 ibu bapa dan penjaga MBPK dari daerah Kuala Pilah dipanggil menyertai program berkenaan, dengan sambutan yang menggalakkan apabila dewan hampir dipenuhi peserta.

“Komitmen dan kehadiran ibu bapa ini amat penting kerana tujuan kita mengadakan Parenting Talk adalah untuk memberikan kefahaman kepada mereka.

“Kasih sayang bukan sekadar dilafazkan dengan kata-kata seperti ‘saya sayang kamu’, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan, kefahaman dan aktiviti yang sesuai untuk perkembangan anak-anak ini,” tambahnya.

Menurut Kamanizam, cabaran utama yang dihadapi ibu bapa ialah meluangkan masa bersama anak-anak berkeperluan khas berikutan sebahagian besar mereka mempunyai komitmen pekerjaan.

Ibu bapa perlu mendapatkan ilmu serta mencari kaedah terbaik sama ada melalui sokongan ahli keluarga atau pihak lain yang boleh membantu memastikan bimbingan kepada anak-anak itu diteruskan di rumah.

Dalam pada itu, Kamanizam berkata, Sekolah Kebangsaan Tunku Munawir kini mempunyai kira-kira 50 murid MBPK, manakala terdapat lebih 20 kelas pendidikan khas di sekolah-sekolah sekitar Kuala Pilah.

Beliau turut memaklumkan terdapat sebuah kelas prasekolah pendidikan khas di Kuala Pilah yang diwujudkan susulan peningkatan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan pendidikan awal bagi anak-anak berkeperluan khas.

Katanya, kelas prasekolah berkenaan kini mempunyai tiga orang murid, namun jumlah itu dijangka meningkat berdasarkan trend semasa.

“Kebelakangan ini kita melihat ibu bapa semakin terbuka untuk menerima situasi anak mereka. Sebelum ini ada ibu bapa yang sukar menerima laporan doktor yang mengesahkan keadaan anak mereka.

“Tetapi sekarang mereka lebih memahami dan mahu memberikan pendidikan terbaik untuk masa depan anak-anak,” katanya.

Peningkatan kesedaran itu memberi peluang kepada lebih ramai MBPK mendapatkan pendidikan yang bersesuaian dengan tahap keupayaan mereka, sekali gus membantu mereka berkembang secara optimum bersama masyarakat.

Show More

Related Articles

Back to top button