Tatacara Pelantikan Menteri Besar Diikuti Dengan Betul

SEREMBAN: Tatacara pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan telah dilaksanakan mengikut prosedur yang betul.
Menteri Besar, Dato’ Ismail Lasim berkata demikian ketika diminta mengulas isu yang dibangkitkan oleh Pengerusi Wawasan Negeri Sembilan, Rais Yatim berhubung pelantikannya ke jawatan berkenaan.
“Saya tak berapa mengikuti, tetapi saya rasa tatacaranya telah diikuti dengan betul. Tatacara pelantikan telah diikut dengan betul.
“Lain daripada itu saya tak ada komen,” katanya kepada pemberita selepas memulakan tugas rasmi di Wisma Negeri, di sini, pada Selasa.
Pada Ahad lalu, Rais dilaporkan mempersoalkan urusan pelantikan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Beliau yang juga bekas menteri kanan UMNO melontarkan beberapa persoalan berhubung pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu sebagai Menteri Besar, termasuk dakwaan wujud campur tangan pihak luar dalam urusan yang melibatkan adat serta Perlembagaan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Ismail tidak mengulas lanjut dakwaan tersebut dan hanya menegaskan proses pelantikannya dibuat mengikut tatacara yang sewajarnya.



