Barisan Exco Negeri Sembilan Dijangka Diumum Jumaat Ini

SEREMBAN: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dijangka diumumkan seawal Jumaat ini atau selewat-lewatnya Isnin depan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Lasim berkata, senarai calon Exco ketika ini masih dalam proses penyusunan dan belum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
“Keputusan itu juga perlu mengambil kira pertimbangan di peringkat parti sebelum dimuktamadkan.
“Bayangan dah ada, tinggal lagi kita sedang… belum dipersembahkan kepada Tuanku dan juga kepada pihak parti sendiri.
“Insya-Allah, paling cepat hari Jumaat, paling lambat hari Isnin,” katanya ketika ditemui media di Wisma Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan tular di media sosial berhubung beberapa nama calon Exco yang dikatakan ditolak, Ismail berkata beliau tidak mengetahui mengenai perkara berkenaan.
Walau bagaimanapun, beliau menafikan menerima sebarang maklumat berhubung dakwaan bahawa wakil Pakatan Harapan (PH) akan disenaraikan dalam barisan Exco negeri.
“Sekarang ini saya sedang menyusun barisan Exco yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan juga Parti Wawasan Negara (WAWASAN),” tambahnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Dato’ Seri Jalaluddin Alias dilantik sebagai Exco, Ismail berkata perkara tersebut akan diketahui selepas pengumuman dibuat.
“Tak pasti, tengoklah nanti. Bila umum nanti,” ujarnya.



