Berita

PRN NS16: Politik Identiti Dominasi Kempen, Dakwa Amirudin

SEREMBAN: Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Amirudin Shari mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan kempen berasaskan sentimen kaum dan identiti yang luar biasa sehingga berpotensi mewujudkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, corak kempen yang dimainkan sepanjang tempoh pilihan raya itu bukan sahaja memberi kesan kepada Negeri Sembilan, malah turut mencetuskan kegelisahan serta syak wasangka antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu di seluruh negara.

Katanya, pendekatan sedemikian tidak membantu usaha membangunkan negeri dan negara kerana perhatian rakyat telah dialihkan daripada isu-isu yang lebih penting.

“Kaedah ini bagi kami merupakan satu hala tuju yang tidak membantu ke arah memajukan Negeri Sembilan mahupun Malaysia.

“Ini kerana isu-isu asas seperti ekonomi tempatan, peluang pekerjaan generasi muda, pendidikan anak-anak, kos sara hidup serta kebajikan rakyat yang seharusnya diberikan fokus telah diabaikan sepanjang kempen pilihan raya, terutamanya daripada pihak lawan Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Gerakan PH sempena PRN Negeri Sembilan ke-16 di Klana Resort, di sini, malam ini.

Mengulas keputusan pilihan raya, Amirudin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak dakwaan bahawa kekalahan PH berpunca daripada ‘gelombang biru’.

Sebaliknya, beliau berpendapat keputusan tersebut lebih dipengaruhi oleh gelombang politik identiti yang semakin kuat dalam kalangan pengundi.

Menurutnya, PH masih mempunyai ruang untuk menjelaskan perkara itu kepada rakyat supaya penilaian terhadap sesebuah parti dibuat berdasarkan prestasi dan rekod pentadbiran, bukannya sentimen perkauman.

“Kita masih ada kira-kira setahun sebelum pilihan raya umum, jadi saya harap seluruh jentera PH dan Perdana Menteri dapat menyusun semula mesej politik supaya rakyat dapat menilai sesebuah parti atau kerajaan berdasarkan nilai, prestasi dan rekod kecemerlangan,” katanya.

Beliau turut mendakwa kempen PRN NS16 memperlihatkan elemen dikotomi antara Melayu dan bukan Melayu yang perlu diperbetulkan pada masa hadapan.

Menurutnya, politik identiti dilihat semakin menguasai kawasan majoriti Melayu dan perkembangan itu merupakan trend yang membimbangkan dalam landskap politik negara.

“Masih lagi ada jalan dan ruang untuk kita perbetulkan perkara ini dan saya harap ada kejujuran politik dalam kalangan semua pendukung dan juga pemain politik supaya kita tidak terus mewujudkan perpecahan dalam masyarakat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button