Aminuddin Tidak Kesal Bertanding di Linggi Walaupun Tewas

SEREMBAN: Kekalahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 tidak menimbulkan sebarang penyesalan kepada Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, keputusan bertanding di kerusi berkenaan dibuat dengan matlamat lebih besar iaitu mendidik masyarakat, khususnya golongan muda, supaya menilai prestasi serta dasar kerajaan dan bukannya terpengaruh dengan sentimen perkauman.
Menurut beliau, faktor yang mempengaruhi keputusan pilihan raya kali ini tidak terhad kepada sesuatu kawasan sahaja malah boleh memberi kesan di mana-mana kerusi yang ditandinginya.
“Mungkin itulah. Kalau saya bertanding di Sikamat pun mungkin saya kalah. Dengan isu ini, kalau saya bertanding di mana-mana pun saya akan kalah, waima di Chuah sekalipun mungkin akan kalah.
“Apa yang penting bagi saya bukannya kalah atau menang. Saya tidak pernah menyesal. Saya rasa syukur kerana dapat mendidik sebahagian anak bangsa untuk berfikir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Arahan Pakatan Harapan (PH) di sini, malam ini.
Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata, walaupun tewas dengan majoriti sekitar 1,700 hingga 2,000 undi, keputusan tersebut menunjukkan sentimen perkauman tidak diterima sepenuhnya oleh semua pengundi.
Katanya, masih terdapat sebahagian rakyat yang membuat penilaian berdasarkan rekod pentadbiran dan prestasi kerajaan, sekali gus memberi keyakinan bahawa usaha mendidik masyarakat mengenai politik yang lebih matang perlu diteruskan.



