Berita

Kepimpinan PH Ambil Tanggungjawab Bersama Atas Keputusan Pilihan Raya

PRN NS16: Kepimpinan PH Ambil Tanggungjawab Bersama Atas Keputusan Pilihan Raya

SEREMBAN: Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) mengambil tanggungjawab secara kolektif susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang tidak memihak kepada gabungan itu.

Pengarah Pilihan Raya PH, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, keputusan tersebut perlu diterima secara bersama oleh seluruh kepimpinan parti tanpa menyalahkan mana-mana individu atau kumpulan tertentu.

Menurut beliau, tumpuan ketika ini adalah untuk menilai semula perjalanan kempen dan memperkukuhkan gerak kerja parti pada masa hadapan, bukannya mencari pihak yang perlu dipersalahkan.

“Sebagai pemimpin PH, kita semua pasti mengambil tanggungjawab secara kolektif.

“Ini bukan masanya untuk menuding jari kepada mana-mana individu, kumpulan atau kem tertentu.

“Sebaliknya, kita akan bertanggungjawab sebagai satu kepimpinan secara kolektif, bermula dari peringkat tertinggi hingga ke peringkat akar umbi organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Gerakan Operasi PH di sini, malam ini.

Pada masa sama, Amirudin merakamkan penghargaan kepada rakyat Negeri Sembilan yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sepanjang proses PRN NS16.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), petugas keselamatan, media, sukarelawan serta jentera parti yang terlibat dalam memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.

“Sekalung tahniah kepada petugas SPR termasuk pasukan polis, pegawai keselamatan, petugas media, sukarelawan dan jentera PH serta setiap pihak yang sudah terbabit dalam menyumbang kepada proses PRN Negeri Sembilan yang berjalan dengan sangat lancar,” katanya.

Mengulas keputusan yang diperoleh PH, beliau berkata berdasarkan kiraan semasa ketika sidang media berlangsung, gabungan itu mendahului di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun masih menunggu pengesahan rasmi daripada SPR.

“Sebanyak 11 kerusi ini kita boleh anggap belum rasmi tetapi ikut pertimbangan pengiraan kita, 11 kerusi ini hampir pasti dimenangi oleh PH,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button