Berita

Negeri Sembilan promosi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 di China

HANGZHOU: Negeri Sembilan terus mengorak langkah ke hadapan dalam usaha mempromosikan destinasi pelancongannya apabila menyertai Malaysia Sales Mission to China 2025 yang bermula di Hangzhou sebagai stesen pertama diikuti dengan Taiyuan dan Xi’an.

Misi jualan ini, yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September 2025, memberi peluang strategik untuk memperkukuh kerjasama pelancongan antara Malaysia dan China menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Chua Choon Hwa; turut disertai oleh Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon yang mengetengahkan keunikan produk pelancongan Negeri Sembilan sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

“Negeri Sembilan mempunyai tarikan pelancongan yang kaya dengan budaya, tradisi, alam semula jadi serta makanan warisan.

“Melalui platform penting ini, kami yakin Negeri Sembilan mampu menjadi pilihan utama pelancong China untuk merasai keindahan dan keunikan Malaysia, Truly Asia,” ujar Nicole Tan.

Acara ini turut menyaksikan kehadiran kira-kira 200 peserta dari China (untuk setiap satu negeri) yang terdiri daripada agensi pelancongan, persatuan pelancongan, institusi pendidikan pelancongan serta penggiat industri berkaitan.

Kehadiran mereka memberi impak besar kepada sesi ‘business matching’ dan perkongsian produk pelancongan, sekali gus membuka ruang kerjasama yang lebih kukuh antara Negeri Sembilan dan rakan industri pelancongan China.

Selain itu, pelancaran logo dan maskot rasmi Visit Malaysia 2026, Wira dan Manja turut menarik perhatian para peserta, melambangkan komitmen Malaysia untuk menerima kehadiran enam juta pelancong China menjelang 2026.

Menyambut Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, Kerajaan Negeri menzahirkan harapan untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa khususnya dari China, dengan tawaran pakej pelancongan yang pelbagai dan pengalaman mesra pengunjung.

“Negeri Sembilan bukan sekadar destinasi, tetapi satu pengalaman yang menyentuh hati, dari budaya adat perpatih yang unik, hingga panorama alam yang memukau.

“Kami menjemput semua pelancong dari China untuk merasai sendiri kehangatan sambutan rakyat Negeri Sembilan pada tahun 2026,” tambah Nicole Tan.

Show More

Related Articles

Back to top button