Jiran Sepakat, Komuniti Hebat

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dengan kerjasama Masjid Kariah Pekan Mantin telah menganjurkan Seminar Kejiranan bertemakan ‘Jiran Sepakat, Komuniti Hebat’.
Program ini bertujuan memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan semangat kejiranan yang harmoni, saling menghormati dan peka terhadap kesejahteraan bersama.
Majlis dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan JHEAINS, Ustaz Ab. Khawi Abdul Rahman, yang dalam ucapannya menegaskan bahawa hubungan baik sesama jiran merupakan asas kepada pembentukan komuniti yang sejahtera dan diberkati Allah SWT.
Pelbagai pengisian menarik turut diadakan seperti senamrobik, slot perkongsian, sesi dialog serta penyertaan reruai agensi-agensi berkaitan. Program ini memberi peluang kepada ahli kariah untuk beraktiviti sambil mendalami ilmu mengenai tanggungjawab dan adab berjiran dalam masyarakat Islam masa kini.
JHEAINS berharap semangat kejiranan yang dipupuk melalui program ini dapat diamalkan secara berterusan dalam kehidupan seharian. Nilai prihatin, hormat dan tolong-menolong sesama jiran diharap terus menjadi budaya yang mengukuhkan perpaduan serta mencerminkan keindahan Islam dalam kehidupan bermasyarakat.



