Berita

Kajian Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040

SEREMBAN: EXCO (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi Negeri Sembilan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias telah mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun di Pelancaran (kick off) Kajian Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 (Kajian Semula) di Bandar Sendayan.

Jalaluddin dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada PLANMalaysia kerana telah membantu Kerajaan Negeri Sembilan bagi memastikan projek kajian ini menjadi salah satu keutamaan jabatan dalam memperolehi peruntukan Rancangan Pembangunan Kelima (RP5) RMK-12 daripada Kementerian Ekonomi.

“Kajian ini adalah sangat penting dan signifikan kepada Kerajaan Negeri dan masyarakat bagi memastikan pembangunan yang mampan dapat terus dilaksanakan di Negeri Sembilan.

“Seiring dengan usaha tersebut, Kerajaan Negeri juga sentiasa komited dalam memulihara dan memelihara sumber alam daripada tekanan pembangunan yang pesat dengan penggunaan teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

“Berkaitan perkembangan ekonomi pula, penzahiran keyakinan pelaburan di Negeri Sembilan dapat dizahirkan melalui peningkatan prestasi ekonomi negeri setiap tahun yang memberangsangkan,” ujar beliau.

Jalaluddin yang juga EXCO (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup berkata, sebagai contoh, pada tahun 2023 Negeri Sembilan telah mencatatkan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM51.9 bilion dengan peningkatan sebanyak 1.8 peratus berbanding tahun 2022.

“Jumlah KDNK ini dipacu oleh Sektor Perkhidmatan yang menyumbang sebanyak 52.9 peratus, dan Sektor Pembuatan dengan sumbangan berjumlah 37.8 peratus.

“Sektor-sektor sokongan lain seperti Sektor Pertanian, Sektor Pembinaan dan Sektor Perlombongan dan Kuari turut menyumbang kepada KDNK Negeri Sembilan.

“Yang penting, keperluan Kajian RSN 2040 (Kajian Semula) ini adalah selari dengan keutamaan negeri, senario perubahan ekonomi dan kehendak pasaran semasa,” ulas Jalaluddin.

Selain itu kata Jalaluddin, tumpuan pembangunan Negeri Sembilan yang terletak di Kluster Industri Wilayah Tengah juga, sudah semestinya arah tuju pembangunan Negeri ini perlu di rancang agar selari dengan kepentingan peringkat Negara ‘Nasional Interest’ dan kepentingan Negeri Sembilan.

“Ini penting, kerana perancangan pembangunan yang komprehensif akan memastikan persekitaran kondusif untuk pelaburan yang mana secara tidak langsung ianya akan meningkatkan prestasi dan hasil kewangan negeri.

“Saya percaya dan yakin dengan izin Allah SWT, melalui pelan perancangan Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 (Kajian Semula) yang komprehensif mengambil kira pelbagai sumbangan idea, keperluan aspek semasa dan akan datang, Negeri Sembilan mampu mencapai pembangunan yang mampan demi kesejahteraan rakyat,” kata Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu.

Show More

Related Articles

Back to top button