Berita

Kampung Pulau dan SRTAQI Al-Irshad disasar jadi contoh kejayaan komuniti MADANI

LABU: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berharap Kampung Pulau dan Sekolah Rendah Tahfiz Al-Quran Integrasi (SRTAQI) Al-Irshad dapat muncul sebagai model pembangunan komuniti luar bandar yang berjaya serta menjadi contoh kepada kawasan lain di seluruh negara.

Beliau berkata, pelaksanaan Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI di kawasan berkenaan bukan sekadar bertujuan menaik taraf kemudahan fizikal, malah memberi impak lebih besar kepada pembangunan masyarakat dan generasi masa depan.

“Saya meletakkan harapan yang tinggi agar Kampung Pulau dan SRTAQI Al-Irshad akan muncul sebagai model pembangunan komuniti luar bandar yang berjaya dan menjadi contoh kepada kawasan lain di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kampung dan Sekolah Angkat MADANI Tahun 2026 di Kampung Pulau, Labu.

Menurut beliau, projek yang bakal dilaksanakan di bawah program tersebut diharap mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat melalui penambahbaikan kemudahan, pengukuhan pendidikan serta pembukaan peluang ekonomi baharu.

“Semoga apabila kita kembali ke sini beberapa tahun dari sekarang, kita bukan sahaja melihat bangunan yang lebih baik dan kemudahan yang lebih sempurna, tetapi kita juga melihat anak-anak yang berjaya, masyarakat yang lebih makmur dan komuniti yang lebih bersatu,” ujarnya.

Aminuddin berkata, kejayaan sesebuah program pembangunan perlu diukur berdasarkan perubahan positif yang dirasai rakyat dan bukan semata-mata melalui pembangunan fizikal atau angka statistik.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Sembilan untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam membawa lebih banyak pembangunan, pelaburan dan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Kejayaan sesebuah negeri bukan diukur pada angka semata-mata, tetapi pada sejauh mana rakyatnya dapat menikmati kehidupan yang lebih baik,” kata Aminuddin.

Turut hadir Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin dan Penyelaras DUN Labu, Ahmad Faez Abdul Razak.

Show More

Related Articles

Back to top button