Berita

1,166 pelajar baharu lapor diri pada hari pertama pendaftaran di Politeknik Premier Port Dickson

PORT DICKSON: Hari pertama pendaftaran pelajar baharu Sesi I 2026/2027 di Politeknik Premier Port Dickson menyaksikan seramai 1,166 pelajar berjaya melapor diri, melibatkan 630 pelajar lelaki dan 536 pelajar perempuan.

Suasana kampus seawal pagi dipenuhi dengan kehadiran para pelajar bersama ibu bapa dan keluarga yang hadir bagi melengkapkan proses pendaftaran, sekali gus menandakan bermulanya satu perjalanan baharu dalam dunia pendidikan tinggi TVET.

Turut hadir meninjau serta menyantuni para pelajar dan keluarga ialah Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah dan Pengarah Politeknik Premier Port Dickson, Wan Zulkifly Wan Zakaria.

Jumlah pendaftaran yang memberangsangkan pada hari pertama ini membuktikan bahawa pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) kini semakin mendapat tempat di hati pelajar sebagai pilihan utama dalam membina laluan pendidikan dan kerjaya yang lebih jelas, relevan serta berdaya saing.

Kepercayaan yang terus diberikan kepada TVET mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaannya dalam menyediakan masa depan yang cerah kepada graduan TVET, khususnya dalam memenuhi keperluan industri dan alam pekerjaan yang semakin berkembang.

Politeknik Premier Port Dickson komited dalam melahirkan graduan TVET yang kompeten, berkualiti dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkasa pembangunan modal insan dan kemajuan negara.

Show More

Related Articles

Back to top button