Berita

Kerala Samajam Negeri Sembilan terus jadi pemangkin perpaduan masyarakat: Gunasekaren

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, Dato’ P. Gunasekaren menghadiri Majlis Ulang Tahun Ke-70 Negeri Sembilan Kerala Samajam (NSKS) yang berlangsung dalam suasana meriah di Regent Hall, di sini.

Majlis berkenaan menjadi simbol kejayaan dan pencapaian membanggakan NSKS yang telah memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan, memelihara kebudayaan serta memperkasakan kebajikan masyarakat Malayalee sejak tujuh dekad lalu.

Dalam ucapannya, Gunasekaren berkata, kejayaan NSKS selama 70 tahun membuktikan komitmen berterusan pertubuhan itu dalam menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang serta menyumbang kepada pembangunan sosial di Negeri Sembilan.

“Negeri Sembilan Kerala Samajam telah menunjukkan peranan yang amat signifikan dalam memupuk semangat perpaduan, mengangkat warisan budaya dan melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan untuk manfaat masyarakat.

“Saya mengucapkan tahniah atas pencapaian cemerlang sepanjang 70 tahun penubuhannya,” katanya.

Pada majlis itu, Pengerusi NSKS, Sukumaran K.S. Nair merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Gunasekaren atas kesudian meluangkan masa menghadiri sambutan bersejarah tersebut.

Bagi memeriahkan lagi sambutan ulang tahun ke-70 itu, Ahli Parlimen Seremban yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, telah menyumbangkan RM5,000 bagi menjayakan program berkenaan.

Anthony Loke yang diwakili Gunasekaren turut menyampaikan ucapan tahniah dan sokongan kepada seluruh warga NSKS atas kejayaan serta sumbangan besar mereka kepada masyarakat.

“Saya juga menyampaikan salam dan ucapan tahniah daripada YB Anthony Loke kepada seluruh warga NSKS.

“Semoga persatuan ini terus maju, berkembang dan menjadi platform yang mengukuhkan perpaduan serta keharmonian dalam masyarakat majmuk negara kita,” katanya.

Beliau berharap NSKS akan terus memainkan peranan sebagai jambatan yang menyatukan komuniti serta menjadi contoh kepada pertubuhan lain dalam memupuk keharmonian dan semangat muhibah.

Show More

Related Articles

Back to top button