Berita

Peruntukan sahaja tidak mencukupi, penglibatan rakyat penentu kejayaan projek

LABU: Kejayaan pelaksanaan Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI tidak hanya bergantung kepada jumlah peruntukan yang disalurkan, sebaliknya memerlukan komitmen dan penglibatan aktif masyarakat setempat untuk memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, peruntukan yang diberikan mampu menyediakan kemudahan dan infrastruktur, namun hanya rakyat mampu menghidupkan kemudahan tersebut melalui aktiviti kemasyarakatan serta semangat kebersamaan.

“Walau sebesar mana sekalipun peruntukan yang diberikan, kejayaan sebenar sesuatu projek tetap bergantung kepada penglibatan masyarakat setempat.

“Peruntukan boleh membina kemudahan, tetapi hanya rakyat mampu menghidupkan kemudahan tersebut dengan aktiviti dan semangat kebersamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kampung dan Sekolah Angkat MADANI Tahun 2026 di Kampung Pulau, Labu.

Aminuddin menyeru seluruh penduduk Kampung Pulau supaya bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan agenda pembangunan yang dirancang serta menjaga setiap kemudahan yang dibina dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Jagalah setiap kemudahan yang dibina dengan penuh rasa tanggungjawab kerana semuanya merupakan hasil daripada wang rakyat dan amanah yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang,” ujar beliau.

Beliau turut menggesa masyarakat menghidupkan semula budaya gotong-royong, saling membantu dan semangat kejiranan yang menjadi tunjang kekuatan masyarakat sejak sekian lama.

Dalam pada itu, Aminuddin menegaskan bahawa pembangunan yang mampan perlu disertai dengan perpaduan masyarakat serta pengurusan yang berintegriti.

“Dalam kita bercakap tentang pembangunan, jangan sesekali kita melupakan kepentingan perpaduan dan integriti.

“Saya menyeru seluruh warga Mukim Labu agar terus memelihara keharmonian yang menjadi kekuatan masyarakat Negeri Sembilan selama ini,” katanya.

Beliau berkata setiap peruntukan yang disalurkan perlu diurus secara amanah, telus dan bertanggungjawab agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh masyarakat serta menjadi contoh kepada kampung-kampung lain.

Turut hadir, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin dan Penyelaras DUN Labu, Dato’ Ahmad Faez Abdul Razak.

 

Show More

Related Articles

Back to top button