Berita

Harga diesel turun daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter

BINTULU: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan MADANI akan menurunkan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan diesel mulai Julai 2026.

Anwar berkata, pembaharuan penyasaran subsidi diesel ini akan menggunakan sistem yang sama seperti digunakan untuk petrol RON95 iaitu BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang akan disahkan dengan MyKad.

“Walaupun keadaan (ekonomi) masih tidak menentu, saya umumkan penyasaran subsidi diesel, bukan naikkan harga diesel tapi menurunkan Harga diesel.

“Penyasaran subsidi diesel menggunakan pengesahan melalui MyKad adalah bertujuan untuk mengelakkan ketirisan yang mencecah berbilion ringgit,” kata Anwar.

Anwar berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Cek Susulan Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri di sini.

Pertama kali melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara.

Ketika ini, diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak Sabah, Sarawak dan Labuan, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button