Berita

Kanak-kanak terabai berjaya diselamatkan

SRI TANJUNG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dipercayai terabai berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dato’ Dr G. Rajasekaran susulan aduan diterima daripada orang awam.

Rajasekaren berkata, kanak-kanak dikenali sebagai Cao Shi Peng itu ditemui berada dalam keadaan tidak terurus di sebuah lokasi yang dirahsiakan di daerah ini, selepas laporan dibuat oleh Setiausaha JPKK Kampung Hailam, Neo Vee Sheng.

“Hasil tinjauan mendapati kanak-kanak berstatus bukan warganegara itu tinggal dalam persekitaran tidak bersih dan hanya dijaga oleh datuknya yang uzur, manakala bapanya pula menghidap Dementia sehingga tidak mampu menyara keluarga.

“Lebih membimbangkan, kanak-kanak tersebut turut tercicir daripada sistem pendidikan apabila proses mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan tidak dapat diteruskan berikutan kegagalan waris terdekat memberikan kerjasama.

“Oleh itu, saya telah meminta bantuan Ahli Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), New Kian Chin telah turun padang bagi menyelaras tindakan segera dengan kerjasama pelbagai agensi.

“Kes berkenaan kemudian dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah untuk tindakan lanjut dari sudut perundangan dan kebajikan.

“Sebagai langkah intervensi segera, kanak-kanak terbabit dibawa ke Hospital Port Dickson untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum ditempatkan di pusat jagaan kanak-kanak bagi memastikan keselamatan serta kebajikannya terus terpelihara,” kata Rajasekaren.

Rajasekaran berkata, kerjasama antara agensi kerajaan dan masyarakat amat penting dalam menangani isu sosial, khususnya melibatkan golongan kanak-kanak yang terabai.

Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus komited memastikan tiada individu yang terpinggir, selain menyeru masyarakat supaya lebih peka dan segera melaporkan sebarang kes pengabaian kepada pihak berkuasa.

Show More

Related Articles

Back to top button