BeritaMenarik

Karnival Piala MADANI Nismilan dapat sambutan 112 pasukan

SEREMBAN: Karnival Hari-Hari Bola Piala MADANI Nismilan 2024 mendapat sambutan menggalakkan apabila sebanyak 112 pasukan menyertai karnival ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, beliau menyambut baik anjuran karnival ini kerana ia merupakan satu platform untuk mencungkil bakat bola sepak di peringkat akar umbi.

“Karnival bola sepak ini melibatkan kategori bawah 10 tahun dan bawah 12 tahun.

“Adalah diharapkan akan lahir pemain bola sepak dari kalangan anak-anak ini, dan mewakili Negeri Sembilan dan skuad kebangsaan pada masa akan datang.

“Bidang sukan merupakan antara platform terbaik untuk melahirkan generasi yang cergas dari segi fizikal dan mental,” ujarnya.

Aminuddin menambah, menerusi latihan yang konsisten dan seimbang daripada pelbagai aspek yang merangkumi minda, fizikal, otot, saraf dan emosi, sukan seperti bola sepak ini juga mampu membentuk seseorang kanak-kanak menjadi cergas, patuh dengan peraturan dan secara tidak langsung membentuk seorang pemain yang berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisplin dan mempunyai jati diri yang kental serta mempunyai sikap kepimpinan.

“Latihan yang akan mereka jalankan setiap hari sudah pasti akan membentuk corak hidup dan identiti mereka.

“Pemain bola sepak yang hebat di dunia ini adalah mereka yang mempunyai disiplin dan komitmen yang sangat tinggi walaupun mereka bukan datang dari keluarga yang kaya.

“Banyak nama-nama hebat pemain bola sepak hari ini yang jika kita sebut sahaja, sudah pasti kita semua tahu cara dan gaya hidup mereka sebagai seorang pemain profesional,” kata beliau.

Aminuddin berkata, kejohanan ini tidak semata-mata menentukan juara dan pemenang bagi setiap perlawanan dan kategori, namun perkara yang lebih penting ialah kejohanan ini memberikan pendidikan secara tidak langsung kepada murid-murid bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pergorbanan.

“Tidak ada kejayaan yang mudah dicapai melainkan melalui perjuangan yang berterusan.

“Kejohanan ini juga adalah landasan ke arah perpaduan, menjalin sifat hormat-menghormati dan semangat kerjasama yang tinggi.

“Matlamat akhirnya adalah untuk kita membentuk sebuah masyarakat dan warganegara yang berjiwa kental, patriotik dan saling berkasih sayang melalui sukan bola sepak.

“Jangan lupa bahawa dalam setiap pertandingan, selain daripada kemenangan, apa yang lebih penting ialah pengalaman yang diperoleh dan nilai-nilai yang dipelajari,” ulas Aminuddin lagi.

Karnival ini anjuran Pusat Pakaian Hari-Hari, Pertubuhan Kebajikan Muafakat Negeri Sembilan dan Kelab Rekreasi Malaysia Sejahtera.

Show More

Related Articles

Back to top button