Berita

KARNIVAL ZA’BA 2025: Za’ba dan Jati Diri Bangsa

JEMPOL: Karnival Za’ba 2025 telah diadakan di Teratak Za’ba, Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Arwan Sabri, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (Pembangunan) Merangkap Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan mewakili YB Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.

Antara pengisian yang terdapat dalam program ini ialah Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil yang telah diadakan pada malam 29 November 2025, Forum Za’ba Bertajuk ‘Za’ba dan Jati Diri Bangsa’, Pertandingan Mewarna bertemakan Za’ba, Pertandingan Kolaj bersama keluarga, Pertandingan Sukan Rakyat, Pertandingan Memancing nostalgia Za’ba di zaman kanak-kanak, pameran agensi, Jualan Produk IKS, Demonstrasi Masakan Luak Jempol, Pertandingan E-Sport dan Cabutan Bertuah.

Forum Za’ba Bertajuk ‘Za’ba dan Jati Diri Bangsa’ adalah program keilmuan bersama-sama dengan ahli akademik dan tokoh.

Tujuan utama ia diadakan adalah untuk membincangkan pemikiran Za’ba dalam konteks pembangunan bangsa.

Ahli panel yang diundang khas ialah mantan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Yahaya Abu Bakar; Presiden Benevolent Malaysia, Muhamad Hanapi Jamaludin.

Manakala moderator program ialah Penolong Kurator Kanan Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Asrul Effendi Kamaruzzaman.

Pertandingan Mewarna melibatkan kanak-kanak yang berusia 4 hingga 12 tahun dengan tema “Za’ba dan Bangsa Melayu.”

Pertandingan Kolaj bersama keluarga pula adalah aktiviti kreatif untuk menghasilkan kolaj wajah Za’ba atau simbol jati diri bangsa dengan dibantu oleh ibu bapa yang turut sama mengimarahkan program ini.

Pertandingan Sukan Rakyat adalah acara santai berbentuk permainan tradisional iaitu kupas kelapa, kukur kelapa dan boling kelapa.

Ia dapat menggamit nostalgia kita semasa zaman kanak-kanak. Pertandingan Memancing pula ialah aktiviti komuniti bertujuan mengeratkan silaturrahim dan menarik penyertaan masyarakat setempat ke program ini.

Pameran Agensi merupakan pameran interaktif yang melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Jualan Produk IKS merangkumi pelbagai jenis produk seperti makanan tradisional, kraftangan, pakaian dan hasil pertanian.

Manakala demonstrasi masakan mengetengahkan keunikan warisan kulinari tradisi pengamal Adat Perpatih di Luak Jempol.

Program diakhiri dengan majlis penutup yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jempol, Dato’ Shamshulkahar Mohd Deli.

Turut hadir Penghulu Luak Jempol, YM Dato’ Lela Putra Setiawan Tuan Mazri bin Haji Mansol; Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd Gorip dan Kurator Bahagian Pengurusan Muzium, Noorul Farahashikin Sakim.

 

Show More

Related Articles

Back to top button