Kebersihan sungai tanggungjawab bersama
NILAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J.Arul Kumar mengingatkan kepada orang ramai bahawa menjaga kebersihan sungai adalah tanggungjawab kita bersama.
Arul Kumar berkata, ini kerana sungai memainkan peranan yang penting dalam hidup kita.
“Walaupun begitu, masih terdapat segelintir pihak yang menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah.
“Ia seolah-olah telah menjadi perkara biasa dalam masyarakat kita.
“Perkara ini perlu diubah sebelum menjadi lebih teruk,” kata Arul Kumar.
Arul Kumar berkata demikian di Program Kesedaran Awam Pengurusan Lembangan Sungai dan Aktiviti Gotong-Royong Komuniti Sungai Mahang.
“Terima kasih kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Seremban (JPS), Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), JPKK Kampung Sungai Mahang dan Team Pantas Nilai yang bersama-sama saya menjayakan program ini.
“Program sebegini adalah penting bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menjaga kebersihan sungai serta alam sekitar,” ujarnya lagi.