Loke lancar BAS.MY Seremban
SEREMBAN: Menteri Pengangkutan Jalan, Anthony Loke Siew Fook telah melancarkan perkhidmatan bas henti-henti iaitu BAS.MY Seremban atau dikenali sebagai bas ‘pink’.
Loke berkata, BAS.MY merupakan Perkhidmatan Bas henti-henti yang dijenamakan semula dengan keseluruhan peruntukan daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia sebanyak RM36 juta.
“Peruntukan tersebut adalah bagi tempoh lima tahun akan datang bagi Pakej A (RM20 juta) dan Pakej B (RM16 juta) yang perkhidmatannya meliputi hampir semua daerah di Negeri Sembilan.
“Selain itu, terdapat beberapa inisiatif lain juga diumumkan untuk meningkatkan ‘ridership’ dan menambah baik perkhidmatan BAS.MY Seremban.
“Penumpang boleh membuat bayaran tanpa tunai. Hal ini kerana di dalam bas telah disediakan sistem pembayaran tanpa tunai yang membolehkan penumpang membuat bayaran menggunakan kad debit, kad kredit, pra bayar atau menggunakan e-dompet.
“Selain itu, bagi golongan warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pelajar sekolah, bas ini akan meneruskan tambang percuma konsesi yang dilancarkan sebelum ini.
“Tetapi dengan syarat, golongan ini perlu mendaftar bagi menikmati tambang percuma.
“Dalam masa sama, BAS.MY juga turut dilancarkan bersama BAS.MY Medik. Ini bertujuan membantu pesakit mobiliti terhad seperti pesakit berkerusi roda khusus untuk tujuan rawatan perubatan.
“Ini adalah antara komitmen kerajaan dalam menyediakan peruntukan yang besar untuk pengangkutan awam dan mengurangkan beban rakyat berkaitan kos tambang dan juga mendapatkan perkhidmatan pengangkutan yang berkualiti,” kata Loke.