Kejayaan sesebuah organisasi adalah cerminan kepada kecemerlangan modal insan

SEREMBAN: Nama Negeri Sembilan telah meniti harum di persada kebangsaan dengan pencapaian cemerlang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.18 pada tahun 2024, meningkat daripada 4.33 pada tahun 2023.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato Seri Utama Aminuddin Harun berkata, semua daerah di Negeri Sembilan juga telah menyaksikan peningkatan Gred Purata Sekolah berbanding tahun sebelumnya.
“Ini bermakna prestasi pendidikan di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan yang positif.
“Dalam peperiksaan STPM tahun 2024 pula, Negeri Sembilan telah mencatat pencapaian membanggakan dengan PNGK 2.86, sekaligus mengatasi PNGK Kebangsaan iaitu 2.85 buat pertama kali.
“Dari aspek pembangunan bakat murid, saya sangat bangga apabila mendapat makluman tentang kejayaan pelajar sekolah Negeri Sembilan menempa nama di persada antarabangsa dalam pertandingan-pertandingan STEM peringkat negeri dan antarabangsa yang diadakan sepanjang tahun 2024,” ujar Aminuddin.
Menurut Aminuddin, enrolmen pelajar STEM Tingkatan 4 Negeri Sembilan pada 31 Oktober 2024 ialah 60.9 peratus dan telah berjaya mencapai 60:40 Dasar Penyertaan Murid Dalam Bidang Sains dan Teknologi berdasarkan data daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan tahun 2025.
Beliau turut menzahirkan perasaan bangga beliau atas kejayaan anak-anak Negeri Sembilan yang telah menyertai pelbagai pertandingan sukan peringkat kebangsaan seperti MSSM tahun 2024.
“Mereka telah membawa pulang pingat emas dalam pelbagai acara seperti olahraga, akuatik, golf, sofbol dan catur, selain turut meraih pingat perak dan gangsa dalam acara-acara lain.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa keseimbangan dalam memupuk bakat serta potensi anak-anak dalam bidang akademik, sukan dan kokurikulum adalah suatu agenda penting yang wajar diteruskan dan disokong sepenuhnya oleh semua pihak.
“Syabas kepada seluruh warga pendidik JPN Negeri Sembilan atas usaha dan komitmen bersama, kerana kejayaan yang dikecapi ini juga adalah refleksi kecemerlangan guru-guru sekolah, pegawai PPD hinggalah ke pegawai Jabatan.
“Komitmen dan dedikasi tuan-tuan dan puan-puan amat dihargai dan menjadi cerminan kecemerlangan pelajar kita. Teruskan kecemerlangan,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan yang diadakan di Wisma Negeri.
Dalam pada itu, Panel Pembangunan Sumber Manusia Kementerian Pendidikan Malaysia telah mempertimbangkan dan memilih seramai 1,569 orang pegawai dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dalam kalangan warga pendidikan di Negeri Sembilan sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2024.
“Daripada sejumlah 1,569 orang penerima APC tahun 2024, kita meraikan 193 orang penerima APC dalam kalangan pegawai dan Anggota Kumpulan Pelaksana dari Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pejabat Pendidikan Daerah, Pengetua, Guru Besar dan sebahagian guru-guru sekolah yang bersama kita dalam majlis hari ini,” kata Aminuddin.