Kerajaan Negeri komited tingkatkan kelajuan internet di Negeri Sembilan
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sembilan komited untuk meningkatkan kelajuan internet di negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, oleh itu satu kolaborasi strategik telah diadakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Digital Nasional Berhad (DNB).
“Pada fasa permulaan bagi pelaksanaan rangkaian 5G di Negeri Sembilan telah bermula sejak 2022 lagi.
“Dalam tempoh itu, sebanyak 225 tapak 5G telah berjaya dibangunkan yang meliputi Port Dickson, Seremban dan beberapa daerah lain.
“Ini merupakan bukti komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan Negeri Sembilan tidak tertinggal dalam mendapatkan penggunaan teknologi terkini kepada rakyat dan pihak berkepentingan.
“Dalam pada itu, penyediaan jalur lebar di kawasan berpenduduk di Negeri Sembilan juga sedang dipergiatkan melalui pelan JENDELA oleh MCMC,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Lawatan Kerja ke MY5G Portal di Tun Razak Exchange.