Kerajaan negeri pertimbang haramkan penjualan vape

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bakal pertimbangkan langkah bagi mengharamkan penjualan vape atau rokok elektronik kepada masyarakat di negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, perkara ini setelah mengambil kira penggunaannya yang memberi kesan negatif kepada kesihatan dan kesejahteraan orang ramai.
“Kementerian Kesihatan (KKM) sendiri mencadangkan supaya diharamkan terus.
“Itu mungkin cadangan yang baik dan kita akan bawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dibincang dan ditentukan tindakan susulan.
“Penguatkuasaan akan dijalankan dengan lebih ketat khususnya terhadap penjualan mushroom vape yang makin berleluasa.
“Sekarang ini bermacam jenis rokok elektronik wujud moden dan tak moden semuanya beri kesan.
“Yang penting, penguatkuasaan kena tegas,” ujarnya.
Beliau juga meminta agar pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak meluluskan lesen kepada premis yang menjual vape, dan menyemak semula lesen sedia ada yang mungkin disalah guna.
“Kita memang tak benarkan jual vape.
“Kadang-kadang ada premis yang guna lesen lain, tapi dalam diam jual vape. PBT kena pantau dan selaraskan dengan lebih baik, termasuk papan tanda jualan produk itu.
“Dalam masa sama, terdapat kebimbangan terhadap penggunaan rokok elektronik dalam kalangan pelajar dan meminta tindakan menyeluruh diambil.
“Kita kena cari punca sebenar.
“Dari mana pelajar dapat vape ni? Kita ada pegawai mesra sekolah, mereka sepatutnya bantu pantau dan ambil tindakan sewajarnya,” tambah beliau.